Pendidikan
merupakan salah satu aspek yang terpenting dalam sesebuah Negara. Pendidikan dilihat mampu mengubah negara
kepada tahap yang lebih baik dari segi peni ngkatan ekonomi, budaya, politik,
sosial, dan sebagainya. Dengan
pendidikan kehidupan manusia boleh berubah dalam sekelip mata. Pendidikan juga merupakan asas penting kepada
setiap individu. Pelbagai usaha yang
telah dan akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam sesebuah Negara bagi memastikan semua rakyatnya menerima
pendidikan.
Justeru itu,
apakah yang dimaksudkan dengan pendidikan?
Perkataan pendidikan mempunyai tafsiran yang pelbagai dan sentiasa
berubah mengikut peredaran zaman, tujuan dan tugasnya. Di sini akan dihuraikan beberapa maksud
pendidikan yang telah dikemukakan oleh beberapa ahli falsafah dan tokoh ilmuan
dari Barat pandangan Barat dan
Islam
Swift D.F di
dalam bukunya “ Sociology of Education” menghuraikan pendapat-pendapat yang
dikemukakan oleh beberapa orang sarjana
dan Ilmuan dari Barat berkenaan dengan pendidikan. Antaranya ialah, Plato berpendapat,
pendidikan ialah suatu proses untuk membentuk individu yang berakhlak
mulia. Beliau menyokong pendapat
Socrates bahawa tujuan pendidikan ialah member latihan moral kewarganaegaraan
yang baik. Menurut Aristotle pula,
pendidikan ialah ilmu yang bersifat etikal dan politikal. Mengikut beliau, tujuan pendidikan ialah
memberikan setiap warganegara peluang untuk mencapai kebahagiaan
hidup.
John McDonald
menghuraikan perbezaan pendidikan diantara masyarakat primitif dengan masyarakat
moden. Pengertian pendidikan dalam
masyarakat primitif ialah latihan vokasional dan pelajaran adat resam,
kepercayaan serta cara sembahyang, dismapaikan melalui tunjuk ajar dengan secara
tidak langsung daripada keluarga dan pergaulan dengan orang dewasa. Manakala pengertian pendidikan bagi
masyarakat moden pula merupakan latihan khusus
menguasai kemahiran dan memperolehi ilmu pengetahuan yang penting untuk
kehidupan disampaikan melalui pengajaran secara langsung daripada guru yang
berilmu tinggi serta mempunyai kemahiran mengajar.
John Dewey
pula mengatakan bahawa pendidikan adalah satu proses perkembangan individu. Mengikut beliau, pendidikan merupakan usaha
mengatur ilmu pengetahuan untuk menambahkan lagi pengetahuan semula jadi yang
ada padanya, supaya dapat hidup dengan lebih berguna dan lebih selamat
lagi.
Atan Long pula
di dalam bukunya bertajuk “Psikologi Pendidikan” memuatkan di dalamnya beberapa
pandangan mengenai pendidikan yang telah dikemukakan oleh beberapa sarjana dan
ilmuan Islam. Antaranya ialah; Syed Muhammad Qutb menyatakan bahawa pendidikan
adalah proses membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang. Menurut beliau, tujuan utama pendidikan ialah
untuk memperkembangkan potensi intelek, fizikal, emosi dan rohani manusia kea
rah tahao kesempurnaan.
Amar
al-Shaibani berpendapat pendidikan adalah digunakan untuk melatih manusia
membuat persiapan bagi kehidupan dunia dan akhirat. Menurut al-Ghazali pula, proses pendidikan
hendaklah merangkumi aspek intelek latihan jasmani serta pembinaan akhlak yang
mulia, berani dan hormat - menghormati.
Firman Allah
di dalam Surah Al-Alaq ayat 1 yang bermaksud : “Bacalah!!! Dengan Nama Tuhanmu
yang menjadikan”, jelas menunjukkan betapa peri pentingnya pendidikan kepada
setiap umat manusia dengan tidak mengira jantina, agama, budaya, umur, keturunan
dan sebagainya Begitu juga dengan
sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : “Menuntut ilmu itu wajib bagi bagi
setiap lelaki dan perempuan”, jelas memberitahu kepada kita bahawa setiap
orang tidak kira lelaki atau perempuan dikehendaki menuntut ilmu atau dalam erti
kata lainnya mempunyai pendidikan.
Mok Soon Sang
di dalam bukunya “Pendidikan di Malaysia” merumuskan bahawa pendidikan ialah
suatu proses atau aktiviti yang berusaha untuk memperkembangkan fizikal, intelek, social dan
emosi seseorang individu serta menambahkan kemahiran, kebolehan, pengetahuan dan
pengalaman supaya dapat member kegembiraan, faedah dan kemajuan dalam
kehidupannya, membantu dan mendorongnya bertindak dengan cara yang lebih sihat
bagi faedah diri sendiri serta masyarakat, bangsa dan
negaranya.
Menurut Anuar
Ahmad (UKM), sesetengah orang tidak
dapat membezakan antara pendidikan asas dan pendidikan menengah. Pendidikan asas adalah satu konsep yang besar
dan luas. Tanpa mengira usia atau ruang,
pendidikan asas boleh sahaja bermula sama ada di peringkat sekolah rendah,
menengah, universiti atau usia tua.
Pendidikan asas yang dimaksudkan ialah satu komponen ilmu yang diberikan
kepada individu meliputi asas-asas kehidupan sama ada sebagai seorang individu
manusia atau sebagai ahli dalam sesebuah Negara. Seringkali pendidikan asas dikaitkan dengan
akronim 3M (membaca, menulis dan mengira).
Sebenarnya pendidikan asas juga meliputi soal pendidikan kesihatan dan
penjagaan diri, kemahiran komunikasi dan berinteraksi serta berkaitan dengan
pembangunan moral dan agama.
Kesimpulannya,
pendidikan berupaya mengubah corak kehidupan seseorang ahli dalam sesebuah
negara. Melalui pendidikan juga dapat
membentuk masyarakat yang berakhlak tinggi, berpengetahuan luas, bijaksana dalam
membuat keputusan, dan tegas dalam mengendalikan emosi seterusnya dapat memacu
kegemilangan dan kecemerlangan sesebuah Negara.
Rujukan
Atan Long (1976-1978), Psikologi
Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
Mok Soon Sang (1991), Pendidikan Di
Malaysia, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd, Kuala Lumpur
Sharifah Al-sagoff (1985), Sosiologi
Pendidikan, Heinmann(Malaysia) Sdn.Bhd. Petaling Jaya
Swift, D.F (1969-1973), The
Sociology of Education, Routledge & Keagan Paul,
London
Portal Pendidikan Utusan, www.tutor.com.my
No comments:
Post a Comment